Umrah pertama Andalusia selepas musim haji

SEPANG 3 Jun – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) memulakan operasi umrah bagi musim 1448/2026 dengan kumpulan pertama 90 jemaah berlepas ke Jeddah awal pagi ini dengan penerbangan Saudia.

Mereka merupakan antara kumpulan jemaah umrah terawal yang akan memasuki Makkah selepas musim haji berakhir baru-baru ini.

Menurut Lembaga Pengurusan Umrah Ziarah Andalusia Norrul Balqes Abu Baker, kumpulan itu menggunakan visa pelancong yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk tujuan menunaikan ibadah umrah.

Katanya, penerbangan pertama ini, mencerminkan komitmen berterusan Andalusia bagi menyediakan perkhidmatan umrah yang berkualiti kepada jemaah Malaysia yang terus memberi kepercayaan kepada syarikat pengendali haji dan umrah itu.

“Penerbangan pertama ini membuktikan tahap kesiapsiagaan Andalusia dari aspek pengurusan penerbangan, penginapan, logistik dan kebajikan jemaah bagi memastikan perjalanan ibadah lancar, selesa dan teratur,” katanya kepada media.

Hadir sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi bagi mengucapkan selamat berangkat kepada jemaah ini adalah Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin dan Ketua Jualan Saudia, Noor Hidayah Abdullah.

Turut serta dalam kumpulan pertama ini adalah empat beradik dari Kuala Lumpur yang pertama kali menunaikan umrah iaitu Nur Yasmin Mohamad Shaugi, Muhammad Syakirin, Muhammad Salihin, dan Muhammad Safwan.

Menurut Norrul Balqes, bagi musim baharu umrah, Andalusia menambah baik dan memperbaharui atur cara perjalanan di Makkah dan Madinah bagi memberikan pengalaman ibadah yang lebih bermakna.

“Andalusia turut menawarkan pakej yang merangkumi penginapan selama satu malam di Taif serta lawatan percuma ke Tapak Peperangan Badar sebagai nilai tambah kepada para jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menguruskan operasi umrah, Andalusia menyasarkan 80,000 jemaah akan memilih pakej yang ditawarkan Andalusia.

Katanya, cabaran terbesar yang dihadapi pada musim ini adalah peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga bahan api yang dikenakan oleh syarikat penerbangan.

Bagaimanapun bagi mengurangkan impak kepada para jemaah Andalusia telah mengambil langkah perancangan awal dan pengurusan kos yang lebih efisien bagi memastikan harga pakej kekal kompetitif.

Menurut beliau, Andalusia membuat perancangan lebih awal dengan mendapatkan pengesahan tempat duduk penerbangan serta tempahan penginapan sebelum berlakunya kenaikan kos semasa.

Mengenai pemilihan Saudia, Norrul Balqes, berkata, syarikat penerbangan itu mempunyai rekod prestasi cemerlang membawa jemaah serta memenuhi keperluan operasi umrah secara konsisten.

Saudia katanya menawarkan penerbangan terus ke Arab Saudi, perkhidmatan mesra jemaah, kapasiti bagasi mencukupi, sajian makanan halal berkualiti serta jadual penerbangan yang membantu melancarkan perjalanan.

Sementara itu, Noor Hidayah berkata, Andalusia adalah antara agensi yang berpengaruh dan kuat di negara ini terutama bagi kategori Bumiputera.

“Memilih ujtuk bekerjasama dengan Andalusia adalah satu keputusan yang secara langsung meletakkan Saudia sebaris dengan syarikat penerbangan gergasi lain di negara ini,” katanya.

Beliau berharap kerjasama yang sudah lama terjalin dengan Andalusia yang menunjukkan kredibiliti dan dipercayai ramai pengguna akan berlanjutan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment