Dua PKPD ditamatkan

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di  Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir di Muar,  Johor, ditamatkan kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 2,258 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1,837 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Bagaimanapun KKM mengesahkan kesemua kes positif yang dimasukkan ke wad dan isolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) telah sembuh sepenuhnya dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata PKPD di Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak turut ditamatkan.

Ismail Sabri berkata kerajaan sebelum ini melanjutkan PKPD di lokasi terbabit kerana terdapat sampel saringan masih menunggu keputusan dan banduan di Pusat Transit Penerimaan (PTP) masih dalam rawatan Di PKRC KEMTA.

KKM mengesahkan kesemua tahanan di PKRC KEMTA telah sembuh serta didiscaj dari PKRC serta tiada lagi kes positif baharu yang dilaporkan.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) , katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan  413 individu melibatkan 396 orang dikompaun dan 17 direman, semalam.

Selain daripada itu, seramai 32 pendatang tanpa izin ditahan serta dua kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng.

Related posts

Leave a Comment