Thailand terus kaji ‘hempedu bumi’

THAILAND akan terus mengkaji keberkesanan ekstrak herba tempatan, fah talai jone (Andrographis Paniculata) atau hempedu bumi selepas terbukti berkesan memulihkan keadaan pesakit Covid-19 semasa ujian klinikal. 

Ketua Pengarah Jabatan Perubatan Tradisional dan Alternatif Thailand (DTAM), Dr Amporn Benjapholpitak berkata kajian rintis yang dijalankan mengenai penggunaan ekstrak fah talai jone bagi merawat pesakit, yang diuji positif Covid-19 dalam tempoh 72 jam menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh DTAM, Fakulti Perubatan Hospital Siriraj, Institut Penyelidikan Chulabhorn, Jabatan Sains Perubatan, Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan di Hospital Samut Prakan menunjukkan keadaan pesakit bertambah baik pada hari ketiga selepas mengambil 180 miligram ekstrak setiap hari.

“Gejala mereka seperti batuk, sakit tekak, kahak, hidung berair, sakit otot dan sakit kepala beransur-ansur bertambah baik. Tiada kesan sampingan ditemui – hati dan buah pinggang mereka berfungsi secara normal,” katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Beliau menambah kajian fasa kedua akan merangkumi keberkesanannya dalam merawat pesakit Covid-19 serta kaedah rawatan standard.

Media sebelum ini melaporkan rawatan herba itu ditawarkan kepada mereka berusia 18 hingga 60 tahun dengan gejala ringan Covid-19, yang mahu mencubanya secara sukarela dan ia perlu diambil dalam tempoh 72 jam selepas jangkitan disahkan.

Kementerian itu berkata, ekstrak tumbuhan itu dikenali sebagai fah talai jone dalam kalangan penduduk Thailand dipercayai boleh mencegah jangkitan dan mengurangkan keradangan.

Kajian juga mendapati, ujian pada manusia menunjukkan keadaan pesakit bertambah baik dalam tempoh tiga hari rawatan tanpa kesan sampingan sekiranya ia diambil segera selepas jangkitan disahkan.

Berdasarkan laporan Bangkok Post, fah talai jone mempunyai rasa sangat pahit dan bau yang kurang menyenangkan.

Ia dipercayai digunakan dalam rawatan selesema dan sakit tekak sejak beberapa kurun di negara Asia seperti Thailand, China dan India.

Satu ketika dahulu, daunnya digunakan untuk menghasilkan teh untuk menyembuhkan beberapa penyakit namun, ia terlalu  pahit untuk ditelan.

Ketika ini, herba berkenaan dihasilkan dalam bentuk tablet dan kapsul.

Related posts

Leave a Comment