Thailand catat 819 kes baharu

BANGKOK 27 Jan. –  Thailand merekodkan 819 kes Covid-19 baharu, termasuk 808 jangkitan tempatan dan satu kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes positif berjumlah 15,465 kes dengan 76 kematian.

Menurut jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Taweesilp Visanuyothin, 716 kes dikesan menerusi pengesanan aktif kes dengan 714 kes di Samut Sakhon, dan masing-masing satu di Rayong dan Samut Prakan.

Menurutnya kematian tunggal yang dilaporkan itu melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun di Samut Sakhon yang juga menderita stroke.

Sebelas kes import pula yang dikuarantin adalah dari United Kingdom (3), Emiriyah Arab Bersatu (1), Iran (1), Poland (1), Mozambique (1), Bahrain (1), Sweden (2) dan Indonesia (1).

Daripada 15,465 kes, 11,054 dilaporkan sembuh termasuk 162 yang pulih dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 4,335 kes sedang menjalani rawatan.

Sementara itu CCSA merancang melonggarkan beberapa sekatan yang dikenakan termasuk membuka sekolah dan melanjutkan waktu operasi restoran.

Langkah  itu akan dibincang dan dimuktamadkan di mesyuarat CCSA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha Jumaat ini berdasarkan kepada keadaan semasa Covid-19 di setiap wilayah dan daerah.

Related posts

Leave a Comment