959 kes baharu di Thailand

BANGKOK 26 Jan. – Thailand merekodkan 959 kes baharu Covid-19 dan seperti dijangka 914 kes dicatatkan hasil pelaksanaan ujian besar-besaran di Samut Sakhon, wilayah yang mencatatkan penularan sejak pertengahan Disember lepas.

Dengan perkembangan ini, jumlah kes yang direkodkan setakat ini adalah sebanyak 14,646 dengan jumlah kematian kekal 75 orang.

Daripada 914 kes di Samut Sakhon, 70 melibatkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 844 lagi dikesan menerusi pengesanan kes aktif, yang melibatkan 760 pekerja asing dan 84 pekerja tempatan.

Sehingga kini sejumlah 6,555 kes Covid-19 dilaporkan di wilayah itu.

Sebanyak 22 kes import pula melibatkan ketibaan dari Indonesia (1), India (2), Myanmar (3), Sudan (2), Pakistan (1), United Kingdom (6), Nepal (1), China (1), Amerika Syarikat  (3), Denmark (1) dan Rusia (1).

Daripada 14,646 kes, sebanyak 10,892 (74.37%) pulih termasuk  230 yang sembuh dalam tempoh 24 jam manakala 3,679 masih menjalani rawatan.

Sementara itu penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand Dr Apisamai Srirangsan berkata Thailand merancang untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 60,000 ujian keatas penduduk wilayah Samut Sakhon minggu ini bagi menghentikan penularan jangkitan dalam negara.

Beliau berkata pihak berkuasa termasuk hospital swasta akan menjalankan pengesanan kes aktif di kilang-kilang, asrama, pasar dan komuniti di Samut Sakhon, wilayah di selatan Bangkok itu.

Related posts

Leave a Comment