Brunei catat kes import UK

SATU lagi kes import Covid-19 kali ini dari United Kingdom dilaporkan di Brunei Darussalam hari ini, Jumaat 22 Januari menjadikan jumlah kes jangkitan 175.

Kes melibatkan seorang lelaki berumur 50 tahun, yang tiba dari United Kingdom pada 8 Januari lalu melalui Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan BI874.

Menteri Kesihatan Dr. Awang Md. Isham Jaafar berkata, lelaki itu hanya mengalami sakit tekak pada 20 Januari dan ketika ini tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.

Beliau kini berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk pemantauan serta rawatan dan ketika ini tiada kontak rapat.

 “Dengan pengesanan kes baharu ini, terdapat tiga kes aktif, sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan semua kes dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dengan pengesanan kes baharu ini, sebanyak 34 kes import disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020, di mana negara ini mencatatkan 261 hari tanpa kes jangkitan tempatan.

Sehingga 22 Januari , seramai 551 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan, iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Setakat ini, seramai 11,739 orang menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment