Masih tinggi berbanding tertinggi

PUTRAJAYA 20 Jan. – Malaysia merekodkan kes harian melebihi angka 4,000 hari ini, selepas 4,008 lagi kes direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara adalah sebanyak 169,379.

Untuk rekod, kes harian tertinggi setakat ini adalah 4,029 pada 16 Januari lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, daripada jumlah tersebut, 4,003 adalah jangkitan tempatan membabitkan 2,802 dalam kalangan warganegara dan 1,201 bukan warganegara. Manakala selebihnya adalah kes import.

Sebanyak 113 kes (2.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (48 kes), Kluster Tembok Nanas (45 kes), Kluster Tembok Mempaga (6 kes), Kluster Telok Mas (5 kes), Kluster Tembok Kemus (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Damai Pelangi (1 kes).

Apa yang lebih membimbangkan adalah jumlah kes aktif terus mencatatkan peningkatan yang kini sejumlah 41,087 kes aktif keseluruhan.

Sementara itu, sebanyak 2,374 lagi kes sembuh dicatat, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih ialah sebanyak 127,662.

Malaysia juga merekodkan pertambahan kes kematian Covid-19 iaitu sebanyak 11, dan menjadikan jumlah korban akibat wabak itu kini 630.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat (4) kes dari Selangor, masing-masing tiga (3) kes dari Sabah dan Johor, serta satu (1) kes dari Sarawak dengan sembilan (9) warganegara dan dua (2) bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

 

Related posts

Leave a Comment