BN kekal kerjasama PH pada PRU-16

MARAN 30 Jun – Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

“Maksudnya, PH boleh bertanding menggunakan lambang PH, dan kita bertanding dengan lambang kita tetapi dari segi kerjasama, kita jalinkan. Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka bertanding itu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapannya pula berkata, sejak parti berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH, belum ada agenda Islam yang diketepikan.

“Saya yang bertanggungjawab menakhodai UMNO (dan) saya akan memastikan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini mengikut semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal Melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita,” katanya.

Mengulas status Parti Progresif Penduduk (MyPPP) yang berasa diketepikan sehingga membuat keputusan tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pula, Ahmad Zahid berkata, ia masih antara parti gabungan dalam ‘Friends of BN.’

Kita mengalu-alukan semua… setiap pemimpin parti dialu-alukan untuk mengambil bahagian dan menyumbang usaha. Sekarang ada 11 ‘Friends of BN’ sebagai parti gabungan dalam BN, kita samakan semua. Mereka masih sebahagian daripada ‘Friends of BN.’

“Parti komponen empat saja, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti, mesti konsensus 100 peratus… jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MyPPP membuat keputusan tidak turun berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap meskipun sudah turun membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pemangku Presiden MyPPP, Loga Bala Mohan, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya berasa diketepikan selepas mendakwa masih sebagai komponen BN.

Related posts

Leave a Comment