22 inisiatif Pakej PERMAI RM15 b

PUTRAJAYA 18 Jan. – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI)  bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif untuk memerangi pandemik Covid-19.

Pakej Bantuan PERMAI itu ditunjangi tiga matlamat iaitu memerangi Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Secara amnya, pakej bantuan PERMAI menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan,” katanya semasa pengumuman khas pakej bantuan PERMAI melalui siaran langsung TV hari ini. 

Menurut Muhyiddin, semenjak bermulanya penularan pandemik Covid-19 awal tahun lepas, kerajaan melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi negara.

Pakej-pakej rangsangan ekonomi ini telah melibatkan RM55 bilion suntikan fiskal oleh kerajaan.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada kali ini memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Oleh itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal. 

“’Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia,” kata beliau.

Perdana Menteri menambah pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan.

Seterusnya, projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi, katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sedar bahawa pelaksanaan PKP dan disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa mulai 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah, kita telah melihat sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.

“Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Related posts

Leave a Comment