Pak Long & Pak Lang lega seketika

PUTRAJAYA 18 Jan. – Pak Long dan Pak Lang serta rakan-rakan pemandu teksi lain pastinya menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pemberian

secara ”one-off” sebanyak RM500 bagi meringankan beban impak Covid-19.

Walaupun bantuan itu tidak menjamin pengurangan beban sekurang-kurangnya ia membantu dalam keadaan kekurangan pendapatan akibat ketiadaan penumpang serta saingan perkhidmatan e-hailing.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, pemberian itu akan memberi manfaat kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

Selain itu, kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.

“Sukacita dimaklumkan, bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, pemberian “one-off” sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, manakala sebanyak RM300 kepada petugas barisan hadapan lain akan mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

“Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak Covid-19 ini berakhir,” katanya.

Related posts

Leave a Comment