Masjid Istiqlal siap diubahsuai

MASJID terbesar di Asia Tenggara, iaitu Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia sudah siap menjalani kerja ubah suai secara besar-besaran yang dimulakan sejak Mei 2019.

Ini adalah kali pertama masjid tersebut menjalani kerja ubah suai sejak dibina 42 tahun lalu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, kos ubah suai Masjid Istiqlal menelan belanja Rp511 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan negara.

Jumlah itu meliputi pelbagai kerja termasuk meluaskan kawasan tempat meletak kereta, mempertingkat landskap serta penyenggaraan kawasan lapangan plaza,naik taraf tandas dan tempat wuduk serta sistem elektrik dan paip.

Majlis pembukaan semula masjid itu dilakukan oleh Joko Widodo pada Khamis, 8 Januari lalu.

“Renovasi Masjid Istiqlal bukanlah untuk gagah-gagahan, tapi sebentuk rasa syukur atas masjid kebanggaan bangsa kita. Menilik sejarahnya, masjid ini memang didirikan sebagai ungkapan rasa syukur kepada Allah SWT atas kemerdekaan Indonesia. Karena itulah masjid yang sudah berdiri 42 tahun lamanya ini bernama Istiqlal atau merdeka,”; kata Widodo melalui Facebooknya.

Idea untuk menjalankan kerja-kerja ubah suai  di Masjid Istiqlal tercetus menyusuli lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke sana pada bulan Mei 2018 dan projek itu selesai pada bulan Julai tahun lalu.

Namun demikian, pandemik Covid-19 mula menular di Indonesia pada waktu itu, menyebabkan pemerintah menguatkuasakan penutupan masjid dan rumah-rumah ibadah di negara itu.

Dengan pelancaran semula Masjid Istiqlal, yang diadakan tidak sampai seminggu sebelum sebahagian besar Jawa dan Bali dikenakan sekatan-sekatan baru pergerakan, Joko Widodo berharap wajah baharu masjid itu dapat meningkatkan ketaqwaan masyarakat Islam kepada Allah dan dijadikan contoh global.

“Masjid ini harus dijadikan contoh bagi masjid-masjid lain di dunia dari segi penyebaran nilai-nilai agama di samping mewujudkan sikap tolak ansur dan perdamaian,” kata Joko Widodo.

Menurut imam besar Masjid Istiqlal, Nasaruddin Umar, kerja-kerja ubah elok besar-besaran itu mengambil masa 14 bulan dan melibatkan 1,000 pekerja.

Ia juga termasuk pembinaan terowong bawah tanah, yang dipanggil “terowong persaudaraan”.

Ia menghubungkan Masjid Istiqlal kepada Gereja Jakarta yang terletak di seberang jalan.

Pembinaan masjid seluas 80,948 meter persegi itu dilakukan dalam tahun 1961 di bawah kepimpinan mantan presiden pertama Indonesia, Sukarno.

Idea bagi masjid tersebut disarankan dalam tahun 1953 oleh Menteri Ehwal Agama yang pertama, Wahid Hasyim, yang turut menyarankan nama Al-Istiqlal.

Diambil daripada perkataan Arab yang bermakna “kemerdekaan”, nama itu dipilih untuk meraikan kejayaan Indonesia untuk merdeka daripada penjajahan Belanda beberapa tahun sebelum itu.

Masjid yang disifatkan sebagai lambang keharmonian agama dan tolak ansur itu direka bentuk oleh seorang jurubina beragama Kristian, Friedrich Silaban.

Friedrich dipilih setelah memenangi pertandingan mereka bentuk masjid dalam tahun 1955, yang mana Presiden Sukarno merupakan antara panel hakim. Masjid itu dirasmikan oleh Soeharto pada tahun 1978.

Ia berupaya menampung sehingga 120,000 jemaah. Tambahan lagi, dewan solatnya disokong oleh 12 tiang dan dilindungi kubah seluas 45 meter.

Ia direka sedemikian untuk mengekalkan suhu sejuk tanpa alat penghawa dingin dengan menghadang sinaran matahari. 

Related posts

Leave a Comment