Amanah boleh menang berbelas kerusi di Kelantan

KLANG 26 Jan. – Parti Amanah Negara (Amanah), yakin parti itu boleh memenangi berbelas kerusi di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang jika perpaduan parti dalam keadaan baik, kata Presidennya, Mohamad Sabu.

Beliau mengakui memang sukar untuk menghadapi parti lawan yang memerintah negeri tetapi yakin mampu menang.

Amanah ketika ini memiliki satu daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berbanding Pas yang mentadbir negeri itu mempunyai 42 kerusi manakala dua lagi milik Barisan Nasional (BN).

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam masa sama tidak menolak berlaku pergolakan dalam kalangan ahli Amanah di Kelantan yang menunjukkan parti berkenaan berpotensi untuk berkembang.

“Rakan-rakan Amanah di Kelantan memang bergolak. Kenapa? Sebab semua nak tunjuk, kamilah hebat maka berlakulah pergolakan.

Sebab itu, bila saya dengar ada pergolakan di satu kawasan, saya tenang sebab (nanti) tentu maju (Amanah) di kawasan ini,” katanya ketika ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah, di sini hari ini.

Mohamad turut mengingatkan ahli parti itu untuk memulakan ceramah dalam skala kecil sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Jangan lupa pilihan raya lepas, Perikatan Nasional (PN) memerintah, kempen berjalan begitu hebat dan kali ini mereka tidak memerintah. Sebab itu, saya yakin undi orang ramai akan berubah pada pilihan raya datang. Mulai balik hari ini, ceramah kecil dalam kelompok kita,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment