Rentas negeri dan daerah dilarang

BAGI mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan
rantaian Covid-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan
beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan
keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan
sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali.

Larangan itu terpakai bagi negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari hingga 26 Januari yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Johor, Sabah, dan Melaka.

Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P,
aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP
yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK
DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP,
pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini,
operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada
pukul 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021.

Bagi negeri PKP, pergerakan adalah terhad di dalam
10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan
keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan,
HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar
dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu
yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum
RM1,000.

Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5)
sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai
sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan
dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan
pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan
pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi
pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang
diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan
masing-masing.

Related posts

Leave a Comment