Kes varian baharu dari UK di Malaysia

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan  satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 atau 20202/01 mutasi spike protein di negara ini pada hari ini, 11 Januari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kes tersebut dilaporkan dari seorang pengembara warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember 2020. Dia  didapati positif pada 28 Disember 2020 lepas dan diasingkan untuk rawatan lanjut.

Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

Sebanyak 968 sampel diuji dan melakukan genome sequencing bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel. Setakat 11 Januari 2021, tiada penularan dalam negara dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut.

Menurut Dr. Noor Hisham, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak didapati menyebabkan simptom yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat.

“Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment