Hotel tutup dua minggu

SINGAPURA 8 Jan. – Hotel Crowne Plaza Changi Airport, Singapura  ditutup selama dua minggu mulai hari ini sehingga 21 Januari bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (MoH) melakukan siasatan kemungkinan jangkitan Covid-19 berlaku di hotel itu.

Hotel itu akan berhenti menerima tetamu baharu , dan anak kapal warga asing yang kini tinggal di hotel tersebut akan keluar secara berperingkat manakala anak kapal yang baru tiba akan ditempatkan di kemudahan lain.

Selain itu, kedai restoran dan ruang acara di hotel tersebut akan ditutup.

Menurut MoH, seorang wanita Malaysia berusia 43 tahun yang merupakan antara dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Khamis bekerja di Azur, Crowne Plaza Changi Airport.

Kelmarin (Rabu) Singapura melaporkan satu kes yang diuji positif bagi strain B117 dan dia bekerja di Azur.

Bagaimanapun menurut kementerian itu, wanita berkenaan bekerja menghantar makanan siap bungkus kepada anak kapal serta penginap di hotel dan tidak berinteraksi dengan pelanggan Azur.

Wanita itu menunjukkan gejala ketika bekerja pada 3 Januari lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik dua hari kemudian.

Wanita itu diuji bagi Covid-19 dan pada awalnya didiagnos mengalami jangkitan pernafasan akut (ARI), namun keesokannya keputusan ujian menunjukkan dia sah positif Covid-19.

Menurut kementerian itu, siasatan awal juga mendapati wanita tersebut berkemungkinan tidak dijangkiti strain B117.

Related posts

Leave a Comment