Mas Ermieyati perlu kerja kuat

MASJID TANAH 24 Okt. – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mengakui beliau perlu kerja kuat untuk mempertahankan kerusi itu berikutan Barisan Nasional (BN) dijangka menurunkan calon ‘heavyweight’ .

Beliau berkata, melalui maklumat diterimanya, BN dikatakan akan mencalonkan seseorang yang berjawatan tinggi dalam sektor awam untuk mencabarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita menjangkakan calon ‘heavyweight’ BN, jadi saya mesti kerja kuat untuk memberikan penjelasan kepada pengundi mengenai visi dan misi saya jika dipilih sebagai Ahli Parlimen.

“Bukan mudah untuk berhadapan dengan calon sedemikian. Yang penting, saya tetap berusaha gigih untuk memastikan kerusi Parlimen Masjid Tanah milik PN,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan sepak takraw di Kampung Nelayan Kuala Linggi, dekat sini, semalam.

Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon pertama PN bagi kerusi Parlimen oleh Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, di sini, malam kelmarin.

Bekas Ketua Puteri UMNO itu dipilih berdasarkan rekod perkhidmatannya selama menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 2013.

Sebelum ini, ada desas-desus BN bakal meletakkan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali untuk merampas kerusi Masjid Tanah daripada Bersatu yang dimenangi Mas Ermieyati atas tiket BN sebelum beliau keluar parti selepas PRU14.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Dr Sabirin Ja’afar dari PKR dan Nasir Othman (Pas).

Related posts

Leave a Comment