Vaksinasi Singapura 30 Dis.

MULAI 30 Disember ini, SINGAPURA akan memulakan program vaksinasi dengan memberi vaksin kepada pekerja penjagaan kesihatan bermula dengan kakitangan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Langkah itu berikutan pemerintah menerima sepenuhnya saranan Jawatankuasa Pakar Vaksinasi Covid-19 tentang strategi vaksinasi Covid-19 di Singapura.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya berkata, kakitangan institusi penjagaan kesihatan awam dan hospital swasta serta warga emas akan diberi keutamaan dalam pelan vaksinasi Singapura.

Vaksinasi bagi warga emas berusia 70 tahun dan ke atas bermula Februari 2021 dengan diikuti vaksinasi untuk warga Singapura lain dan penduduk jangka panjang,

Vaksin itu akan diberikan secara percuma dengan perincian lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.

Menurut MOH, jawatankuasa pakar telah menyerahkan saranan, termasuk tentang penggunaan Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, kepada pemerintah Rabu lalu.

Antara lain, jawatankuasa itu menyarankan agar vaksinasi diutamakan bagi mereka yang berisiko dijangkiti Covid-19 seperti pekerja penjagaan kesihatan serta mereka yang paling terdedah kepada komplikasi dan penyakit teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 seperti warga emas.

Golongan warga emas juga perlu dilindungi dari jangkitan kerana ini akan mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) berkaitan virus itu.

Jawatankuasa Pakar telah mendapati vaksin Pfizer-BioNTech sesuai digunakan mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas bagi mencegah koronavirus itu.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata vaksin tersebut menunjukkan keberkesanan tinggi sebanyak 95 peratus.

Profil keselamatan vaksin itu juga sejajar dengan piawaian tinggi yang diletakkan bagi vaksin lain yang digunakan dalam imunisasi terhadap penyakit lain.

Jawatankuasa tersebut menyarankan seramai mungkin warga diberi vaksinasi itu agar dapat mengurangkan perkadaran penduduk yang terdedah kepada Covid-19 dan kemungkinan berlaku rantaian penyebaran yang tidak terkawal.

Ini juga dapat melindungi mereka yang buat masa ini tidak sesuai menerima vaksinasi tersebut.

Jawatankuasa itu juga menyarankan apabila bekalan vaksin lebih meluas, semua yang menginap di Singapura divaksinasi, tetapi  tidak diwajibkan.

Namun, MOH berkata vaksin itu tidak digalakkan bagi wanita hamil dan individu yang mengalami masalah imuniti sehingga lebih banyak data dapat dikumpulkan.

Related posts

Leave a Comment