PBB gesa siasat pembunuhan pusat bantuan

GAZA – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa siasatan bebas terhadap kes pembunuhan dan kecederaan warga Palestin berhampiran pusat bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Beliau amat terkejut dengan laporan mengenai warga Palestin yang terbunuh dan cedera ketika mendapatkan bantuan semalam, sesuatu yang tidak boleh diterima ketika penduduk terpaksa mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan makanan.

“Saya menggesa siasatan segera dan bebas dijalankan ke atas kes ini dan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan,” kata Guterres dalam satu kenyataan tanpa menyalahkan mana-mana pihak atas kematian itu.

Bagaimanapun Kementerian Luar Israel menggelar kenyataan itu sebagai ‘memalukan’ dan menyalahkan Guterres kerana tidak mengkritik Hamas.

Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan tembakan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 31 mangsa dan mencederakan 176 lagi berhampiran pusat agihan bantuan disokong Amerika Syarikat (AS) itu di bandar Rafah, selatan Gaza.

Bilangan mangsa yang mengalami kecederaan tembakan meningkat dengan mendadak tetapi tentera Israel menafikan menembak ke arah orang ramai ‘semasa mereka berada berhampiran atau di dalam’ pusat pengagihan itu.

Bagaimanapun sumber tentera mengakui, ‘tembakan amaran dilepaskan ke arah beberapa suspek’ kira-kira satu kilometer dari pusat bantuan itu pada waktu malam.

Kerajaan Israel bekerjasama dengan GHF untuk memperkenalkan mekanisme baharu pengagihan bantuan di Gaza yang menggantikan sistem lama yang dikendalikan oleh PBB.

PBB enggan bekerjasama dengan kumpulan itu kerana bimbang terhadap sifat pilih kasih dan diperalatkan bagi memburu pejuang atau penyokong Hamas.

Ahad lalu, tentera Israel berkata, siasatan awal mendapati anggotanya ‘tidak melepaskan tembakan ke arah orang awam semasa mereka berada berhampiran atau di dalam kawasan pengagihan bantuan kemanusiaan’.

Nnn

Related posts

Leave a Comment