Pegawai ‘dibeli’ pengguna ‘dijual’

 

SUDAH banyak diperkatakan mengenai kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, diragui status halal dan kualitinya. Banyak pihak sedang ‘bertekak’, seolah-olah tercari-cari jawapan ‘betulkah’ apa yang berlaku dan di mana silapnya?

Hari ini pengguna mahu tahu apakah jenama yang terlibat. Mereka inginkan kepastian. Pengguna juga mahu tahu apakah hukuman paling layak terhadap ‘jenayah’ ini dan amat dinantikan siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan kekalutan ini berlaku.

Punca masalah ini sudah tentulah ‘penjaga gawang’ atau dalam istilah media disebut gate keeper, orang yang bertanggungjawab memilih, menyemak, menolak sesuatu berita sebelum disebarkan. Langkah itu antara lain bagi memastikan maklumat diberi sahih, tepat dan tidak meracuni fikiran rakyat.

Berita kartel seludup daging import ini memang menggemparkan dan merisaukan pengguna terutama masyarakat Islam yang amat mengambil berat status makanan halal dan haram. Kesannya bukan setakat pengguna tetapi industri berkaitan termasuk peniaga makanan berasaskan daging.

Bagi masyarakat Islam, halal haram makanan ini amat penting berbanding bab haram lain. Pantang menjamah makanan tidak halal lebih-lebih lagi yang dikaitkan dengan babi. Ramai yang pejam sebelah mata bab penyedia, penjual, pengendali, tanda halal serta sembelihan yang meragukan. Kebanyakan orang memadai dengan tanda halal sedangkan tanda itu juga ada yang palsu.

Hakikatnya pesan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Semua daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka adalah lebih utama menyiksanya”. (HR At-Tirmizi)

Banyak lagi yang haram dipandang sepi atau diabaikan hanya kerana tidak dilibatkan dengan makanan. Ramai lupa bab haram lain yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak. Contohnya, riba, rasuah, judi, arak, tipu daya, monopoli atau sorok barang, mengumpat, memfitnah, mengambil hak orang dan pelbagai lagi.

Justeru jangan ‘terlalu memilih’ isu halal haram kerana “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak,”

Berbalik kepada daging yang tidak halal atau bercampur dengan daging lain, ia satu tragedi yang amat menyedihkan setelah dikatakan operasinya selama 40 tahun. Mungkin setiap daripada perut kita sudah ‘menikmati’ daging ini yang pernah popular sebagai ‘daging kotak’ kerana harganya murah.

Sup ekor, sup lidah, sup kaki, gear box dan pelbagai lagi tidak mungkin keluaran tempatan sepenuhnya. Pastinya diimport. Kita makan daging import di majlis kenduri, hotel, restoran , gerai malahan di rumah yang statusnya kita anggap halal tetapi ada tangan-tangan jahil yang merosakkan keyakinan kita. Ini bukan soal haram sahaja tetapi juga melibatkan soal kesihatan pengguna.

Kita percaya tidak semua yang masuk ke negara ini haram tetapi disebabkan seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit. Ini bukanlah seperti ‘lembu punya susu sapi dapat nama’ tetapi ‘kangaroo atau kuda punya daging, lembu dapat nama’.

Memang menyedihkan apabila ada laporan mengatakan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara. Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah.

Disebabkan kelekaan gate keeper yang bertukar menjadi ‘ musuh dalam selimut’ ini akhirnya pintu gawang bolos sehingga bola menembusi jaring gol seterusnya melantun ke arah penonton di bangku stadium.

Pengguna adalah mangsanya, tertipu dengan daging tidak halal, daging haiwan lain, mungkin haiwan berpenyakit dan pelbagai lagi.

Mengikut rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), setakat ini Malaysia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan. Semua menjalani pemeriksaan audit oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain negara sumber yang diluluskan, kartel juga dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.

Kini perkara sudah terjadi. Pengguna mula meragui status daging yang dimakan kerana kebanyakan peniaga mungkin memilih daging import yang lebih murah. Secara tidak langsung akan memberi kesan kepada peniaga yang menggunakan daging dalam penyediaan makanan.

Tetapi seperti disebut tadi, tidak semua pembekal terlibat dengan bekalan ‘daging haram’ ini. Justeru pihak berkuasa perlu tampil menasihatkan pengguna mengenai jenama yang diragui. Jangan biarkan jenama itu tular begitu sahaja. Lebih penting, hentikan edaran, tarik balik produk berkaitan di pasaran. Adakah perlu ditunggu sehingga kes selesai di mahkamah?

Kerajaan perlu sama-sama ‘membersihkan’ industri ini dengan lebih telus. Syarikat berkaitan juga perlu tampil menjelaskan situasi sebenar supaya pengguna lebih yakin dan tidak terus tertipu. Tidak ada sebab syarikat berkenaan terus berdiam diri. Berani buat berani tanggung. Berani kerana benar takut kerana salah.

Related posts

Leave a Comment