Makin ramai ingkar arahan

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menghampiri penghujungnya (jika tidak disambung),jumlah individu yang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat hampir lima kali ganda iaitu 1,002 pada Jumaat berbanding 246 individu pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tersebut, seramai 854 individu dikenakan kompaun, manakala 148 individu lagi direman.

Daripada jumlah yang ditahan, individu yang terlibat dengan aktiviti pusat hiburan adalah paling tinggi iaitu seramai 687 individu.

.Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata selain itu, mereka yang ditahan juga gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal iaitu 125 orang, tidak memakai pelitup muka (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63) dan lain-lain (58).

Beliau juga memaklumkan,  seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan dalam Operasi Benteng, manakala tiga buah kenderaan darat dirampas.

Pada masa yang sama, pasukan petugas operasi pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuat 49,603 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,454 pasukan pematuhan membabitkan 10,632 anggota membuat pemantauan di 3,579 pasar raya, 4,656 restoran serta 1,852 penjaja, 1,118 kilang, 3,314 bank dan 498 pejabat kerajaan..

Sementara itu, beliau turut mengumumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Desa Bistari, Batu Uban di Pulang Pinang akan ditamatkan hari ini, berbanding jadual asal 31 Disember.

Katanya, keputusan penamatan PKPD lebih awal bagi lokaliti itu dibuat hasil nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Related posts

Leave a Comment