81 kes baharu di Thailand

BANGKOK 25 Dis. – Sebanyak 81 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Thailand hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif 5,910 kes dan kematian kekal 60.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kes positif melibatkan 37 jangkitan tempatan, 35 pekerja asing dan sembilan kes import yang melibatkan mereka yang dikuarantin sejurus tiba di negara ini.

Sebanyak 26 daripada 37 kes jangkitan tempatan, ada kaitan dengan penyebaran virus di wilayah Samut Sakhon dan 11 lagi dalam siasatan.

Setakat ini Covid-19 telah merebak ke sekurang-kurangnya 31 wilayah dan lebih 1,300 kes dilaporkan ada kaitan dengan sebuah pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata pihak berkuasa kesihatan awam meningkatkan pengesanan kes aktif untuk menghentikan penularan virus yang boleh membawa maut itu.

“Sehingga kini, kami telah menjalankan 8,810 ujian COVID-19 dan lebih 1,300 disahkan positif.

“Kebanyakan pesakit adalah pekerja asing dari negara jiran, Myanmar dan tidak mengalami gejala,” katanya..

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai penjual udang berusia 67 tahun yang didapati positif virus itu minggu lepas.

Berikutan lonjakan kes, kerajaan negara itu telah melaksanakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam di Samut Sakhon.

Related posts

Leave a Comment