Vaksin: Hasrat UAE dihargai

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang berhasrat menyumbang vaksin Covid-19 kepada Malaysia.

Penghargaan itu disampaikan ketika menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi UAE Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais  di Emirates Palace, Abu Dhabi hari ini.

Sesi menghadap itu adalah satu daripada acara lawatan khas lima hari Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi, UAE.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin bagaimanapun berkata, beberapa proses perlu diambil kira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal di Malaysia.

“…khususnya menerusi Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata hasrat sumbangan vaksin Covid-19 dan lawatan khas itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan erat terjalin antara kedua-dua negara.

Ia juga menunjukkan Malaysia dan UAE bersama berganding bahu dalam usaha memerangi wabak Covid-19 serta kerjasama pemulihan pasca-Covid-19.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan melakukan kunjungan mesra terhadap Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di kediaman rasminya pada 22 Disember.

Related posts

Leave a Comment