Ucap selamat Seri Paduka

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan ucap selamat kepada masyarakat beragama Kristian di seluruh negara yang menyambut Krismas esok.

Baginda berdua menzahirkan harapan agar perayaan ini membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka Baginda bertitah agar rakyat tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan ini seperti kelaziman ekoran penularan wabak Covid-19.

“Walaupun perayaan ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi,” titah baginda.

Pada masa yang sama, Seri Paduka berdua turut menasihati supaya sentiasa berwaspada dan berdisiplin menjaga keselamatan serta kesihatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Baginda berdua turut mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada seluruh rakyat sempena tahun 2021.

Baginda mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan  kemakmuran dan  perpaduan yang berkekalan.

Related posts

Leave a Comment