3.5 juta dos diterima bulan ini

PUTRAJAYA 1 April – Malaysia akan menerima bekalan vaksin Covid-19, CanSino dari China berjumlah 3.5 juta dos secara berperingkat bermula bulan ini dengan penghantaran pertama sebanyak 150,000 dos.

Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba berkata, vaksin yang satu-satunya menggunakan satu dos itu akan memanfaatkan 3.5 juta penduduk negara ini atau meliputi 10.9 peratus dengan pembekalan kedua sebanyak 350,000 dos pada Mei ini.

Menurut beliau, pembekalan pertama dan kedua itu melibatkan vaksin yang telah siap manakala penghantaran berikutnya sehingga Ogos adalah secara pukal oleh Syarikat Solution Biologics Sdn. Bhd. iaitu syarikat tempatan yang dipilih untuk membuat pengilangan dan pembotolan di negara ini.

“Syarikat tempatan ini akan mendapat faedah pemindahan teknologi pembotolan vaksin The Convidecia, Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), yang dibangunkan oleh CanSino Biologic Inc. yg berpangkalan di Tianjin, China.

“Bagaimanapun, syarikat ini perlu memenuhi semua perkara berkaitan pematuhan peraturan pendaftaran Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum membolehkan pembekalan vaksin ini kerana menitikberatkan soal keberkesanan, keselamatan dan kualti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian dengan Syarikat Solution Biologics Sdn. Bhd. itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nazlee Kamal di Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Adham berkata, pemberian vaksin CanSino itu akan difokuskan kepada penerima di kawasan pedalaman dan mereka yang sukar dicari atau mana-mana individu yang tidak ada keupayaan untuk datang dua kali bagi mendapatkan vaksin dari jenis dua dos.

Beliau menjelaskan, berdasarkan data-data klinikal dari NPRA yang melihat kepada keberkesanan vaksin CanSino ini adalah mencukupi untuk membuat vaksinasi kepada penduduk di negara ini.

Pada masa sama, Adham memberitahu, kelebihan CanSino ini juga lebih mudah cara penyimpanan iaitu pada suhu 2 – 8 darjah celsius dan tempoh hayat adalah selama 12 bulan dari tarikh pembelian.

Related posts

Leave a Comment