Menanti pembunuh Adib

SELEPAS dua tahun, pembelaan terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim masih menimbulkan tanda tanya. Apakah akan terbela kematiannya atau mereka yang bertanggungjawab terhadap kematiannya terlepas begitu sahaja?

Atau Adib hanya akan dikenang setiap kali hari kematiannya? Ramai yang menunggu bilakah penjenayah yang bertanggungjawab boleh dihadapkan ke mahkamah.

Apa pun keputusannya, sama ada mahu disiasat lagi dan lagi, yang penting, mereka yang menyebabkan kematian anggota bomba itu perlu dihukum dengan setimpal.

Hari ini, kerajaan memberi jaminan satu siasatan yang lebih adil akan dijalankan berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim agar tindakan sewajarnya dapat diputuskan kelak.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan, penelitian lanjut termasuk melakukan pelbagai proses siasatan akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Macam mana pun, kerajaan beri jaminan kes Allahyarham Adib ini dapat diambil tindakan sewajarnya.

“Buat masa ini, seperti kita sedia maklum, keluarga Adib juga mengambil tindakan sivil terhadap kerajaan, ini pun kita akan bincang supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik yang adil bagi keluarga Adib,” katanya selepas Majlis Perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Di Pertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling, pada Ahad.

Tambahnya, setakat ini, tiada sebarang inkues terbaharu akan dibuat dan perkara berkenaan telah diumumkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara masih belum menerima sebarang laporan baharu berhubung siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan bahawa pihak polis akan melaksanakan penelitian lanjut agar kes berkenaan dapat diambil tindakan lanjut.

Baru-baru ini, keluarga Allahyarham Muhammad Adib melahirkan rasa hairan dengan siasatan polis yang masih menjurus punca kematian arwah, sedangkan Mahkamah Koroner sudah membuat keputusan mengenainya.

Ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat pada Isnin, yang menyatakan bahawa siasatan polis terhadap penyebab kematian Muhammad Adib di peringkat akhir dan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64 tahun menegaskan bahawa siasatan seharusnya menjurus untuk mencari penjenayah yang menyebabkan kematian Adib selepas dua tahun kejadian itu berlaku.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Muhammad Adib berikutan terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan.berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat itu.

Related posts

Leave a Comment