Namat Abdullah meninggal dunia

Oleh Abdul Hafiz Ahmad


BEKAS ketua pasukan Malaysia dan Pulau Pinang serta antara 19 wira negara yang beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun di kediaman anaknya di Taman Larah Aman, Kamunting, Perak, menurut kiriman WhatsApp seorang ahli keluarganya kepada BebasNews.

“Jenazahnya akan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Peruda, Sungai Petani, Kedah malam ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani pada sebelah pagi sebelum solat Jumaat esok.

“Kami (keluarga Allahyarham) ingin memohon maaf bagi pihak Allahyarham. Sekiranya ada ucapan dan perbuatan yang terguris tanpa sengaja sepanjang perkenalan bersama, maafkanlah.

“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, menerima segala amalannya dan mengangkat darjatnya. Semoga pemergian Allahyarham menjadi kerehatan sebenarnya daripada urusan dunia.

“Semoga Allahyarham dilindungi daripada seksa kubur dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan para salihin.”

Allahyarham meninggalkan seorang balu – Datin Mahani Sulaiman, tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit.

Namat yang dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang pada 30 Mac 1946, sebelum ini dilaporkan menghidap barah usus dan angin ahmar malah pernah menjalani pembedahan ostomy bag di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Mac lalu.

Allahyarham paling diingati kerana aksinya sebagai bek kanan di Munich dan Ingolstadt, Jerman Barat iaitu penampilan sulung dan bersejarah pasukan bola sepak Malaysia dalam Sukan Olimpik.

Abang kepada penyerang pasukan itu, Shaharudin Abdullah ini beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan A Olimpik 1972 yang menyaksikan Malaysia mengalahkan Amerika Syarikat 3-0 selain kalah kepada tuan rumah 3-0 dan Maghribi 6-0.

Mereka menempah tiket Olimpik itu selepas menjuarai pusingan kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul, Korea Selatan pada 1971 dengan menundukkan Jepun 3-0, tuan rumah 1-0, Taiwan 3-0 dan membelasah Filipina 5-0.

Namat mengambil alih lilitan kapten Malaysia ekoran persaraan mendiang Datuk M. Chandran lalu memimpin skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka dan meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 dengan menewaskan Korea Selatan 1-0 dan Korea Utara 2-1, masing-masing dalam perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga.

Beliau juga menyandang peranan ketua pasukan Malaysia, dua tahun sebelumnya yang bergelar juara Piala Raja Thailand selepas menewaskan tuan rumah 1-0.

Tahun 1974 turut menyaksikan bekas Sub Inspektor dengan Jabatan Penjara Malaysia ini mengetuai Pulau Pinang menjulang Piala Malaysia selepas menumpaskan Perak 2-1 selain membantu kelab majikannya, Penjara menjuarai Piala FAM 1970, 1971 dan 1973.

Beliau yang menyarung jersi negara dari 1968 hingga 1975 manakala Pulau Pinang sejak Piala Burnley 1965 (saingan bawah 19 tahun yang kemudian dijenamakan semula sebagai Piala Razak dan Piala Belia) hingga 1976.

Terkenal dengan rembatan deras jarak jauh, umpanan tepat ke tengah dan lontaran bola ke dalam sejauh petak penalti, Namat sebenarnya memulakan karier sebagai penyerang Kelab Sukan Marines, Pulau Pinang.

Anggota lain skuad Olimpik 1972 yang telah meninggal dunia ialah Allahyarham Ali Bakar (2003), mendiang Wong Choon Wah (2014), Allahyarham Othman Abdullah (2015), Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff (2017).

Lain-lain termasuk Chandran (2019), Allahyarham Salleh Ibrahim (8 Mac lalu), mendiang V. Krishnasamy (2 Ogos lalu) dan Allahyarham Datuk Mohamad Bakar (8 November lalu)

Related posts

Leave a Comment