Covid-19 : Brunei catat kes ke 232

BANDAR SERI BEGAWAN 14 Mei. – Kementerian Kesihatan mengesan satu lagi kes import baharu jangkitan Covid-19 semalam, yang membawa kepada jumlah keseluruhan 232 kes.

 Kes yang ke-232, itu melibatkan seorang wanita, berumur 24 tahun, yang tiba di negara ini dari Jakarta, pada 29 April 2021. Dia mengalami selesema sejak 11 Mei 2021.

Menurut kenyataan kementerian, siasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes ini memandangkan beliau dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini.

Dengan pengesanan kes terbaharu ini, sebanyak 91 kes import disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan, pada 6 Mei 2020, iaitu 372 hari tanpa kes jangkitan tempatan Covid-19.

Sebanyak 220 kes sembuh dilaporkan manakala sembilan kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, di mana kesemua kes itu dalam keadaan yang baik.

Semalam, seramai 524 orang masih menjalani pengasingan diri mandatori, di pusat-pusat pemantauan yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu mereka yang tiba ke negara ini, setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Setakat ini, seramai 18,093 orang menamatkan pengasingan diri mandatori, di kemudahan-kemudahan berkenaan.

 Sehingga semalam juga sebanyak 184 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 menjadi 123,068 ujian.

Related posts

Leave a Comment