‘Henti kejar bayang-bayang’

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), Amanah dan DAP mencadangkan agar gabungan itu membuat anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama menegaskan, sudah tiba masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.

Mohamad dan Guan Eng menegaskan, undian Belanjawan 2021 pada Selasa lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja dan Bagan itu, kelompok itu hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperoleh tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PH harus berdepan dengan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa.

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN,” kata dua pemimpin itu.

Selasa lalu Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis sebanyak tiga undi apabila 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 108 lagi menolak Belanjawan itu.

Dalam pada itu Mohamad dan Guan Eng berkata, Selasa lalu adalah hari yang mengecewakan bagi pemimpin dan penyokong PH yang berharap Belanjawan 2021 dapat dikalahkan pada bacaan ketiga di Parlimen.

Ia bagi membolehkan PH menuntut kembali mandat rakyat yang dimenangi pada pilihan raya 2018.

“PH telah menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan bahawa beliau boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen kerajaan dengan syarat mereka bukan Ahli Parlimen kleptokrat terutamanya (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Najib Razak.

“Tidak ada satu pun Ahli Parlimen kerajaan yang mengundi bersama PH, termasuk mereka yang kononnya menyokong Anwar.

“Jelas Ahli Parlimen kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN,” katanya.

Ketika Belanjawan 2021 diundi di peringkat dasar pada 26 November lalu, hanya 13 Ahli Parlimen termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang bangun mendesak undian belah bahagian.

Manakala Ahli Parlimen PH yang lain tidak ikut bangun kerana mengikut arahan Anwar yang dikeluarkan pada saat akhir dengan alasan mempunyai strategi menolak Belanjawan 2021 pada peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga.

Namun, selepas 10 hari berbahas dan mengundi, kesemua peruntukan 27 kementerian lulus biarpun terdapat beberapa kementerian berdepan undi belah bahagian.

Related posts

Leave a Comment