Feri Pulau Pinang diteruskan

DI Dewan Rakyat hari ini, 17 Disember, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu, akan diteruskan.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan meluluskan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan, yang menjadi lambang ikonik di Pulau Mutiara itu.

“Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan akan dibayar secara dua ansuran tahunan yang mana RM15 juta untuk 2021 akan dibayar pada 2021 sebagaimana diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

“Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi penggulungan RUU Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020.

Sebelum ini, perkhidmatan feri Pulau Pinang dilaporkan akan dihentikan bermula 1 Januari depan dan digantikan dengan bot penumpang laju.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Tan Teik Cheng, berkata, bot laju baharu yang akan diperkenalkan itu digunakan untuk membawa penumpang pejalan kaki sahaja.

Manakala feri sedia pula, kata Teik Cheng, hanya akan membawa kenderaan dua roda iaitu motosikal dan basikal.

Related posts

Leave a Comment