MP Parit juga nafi SD Anwar

IPOH 14 Dis. – Seorang lagi tampil membuat penafian. Kali ini Ahli Parlimen Parit Nizar Zakaria menafikan beliau antara 10 wakil rakyat UMNO yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Nizar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit, menegaskan, walau apapun keadaan beliau akan tetap setia dengan parti serta Barisan Nasional (BN) dan menafikan terlibat dalam polemik itu.

“Saya tidak pernah menandatangani sebarang SD menyokong Anwar. Sampai bila-bila saya tidak akan berpaling daripada UMNO dan BN, sentiasa berpegang kepada prinsip serta akur segala arahan dan keputusan UMNO,” katanya kepada Bernama.

Terdapat laporan sebelum ini bahawa ahli Parlimen UMNO selain Pekan dan Bagan Datoh ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin. Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dan Mohd Nizar..

Sebelum ini, Bung Moktar Radin menafikan dakwaan bahawa beliau antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang mengemukakan SD menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, dakwaan yang mengaitkan namanya merupakan spekulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu membuat spekulasi. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk dilakukan khususnya menumpukan kepada masalah rakyat,” katanya.

Mohamad Alamin pula menyangkal dakwaan bahawa beliau ‘sebahagian’ daripada wakil rakyat UMNO, yang menandatangani SD.

“Saya ingin menyatakan seperti berikut, bahawa saya menafikan telah menandatangani SD dengan niat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan media.

Related posts

Leave a Comment