517 kes jangkitan di Singapura

SINGAPURA 13 Sept. – Singapura melaporkan 517 kes jangkitan baharu Covid-19 dalam negeri dan tiga kes import dalam tempoh 24 jam setakat pukul 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 71,682 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), daripada jumlah itu, sebanyak 454 kes dalam masyarakat dan 63 penghuni asrama pekerja asing di mana 137 kes adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Jumlah kes jangkitan semalam adalah lebih rendah berbanding 550 yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

Pada masa yang sama satu kluster baharu direkodkan dengan 28 kes di bangunan Pusat Rantaian Bekalan Serantau DHL di Tampines.

Sebanyak 10 kes lagi dikaitkan dengan kluster Chinatown Complex, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kluster itu sebanyak 81.

Sementara itu tiga kes import yang dilaporkan melibatkan satu kes yang dikesan sejurus tiba di sini, manakala dua lagi semasa menjalani tempoh pengasingan.

Menurut MoH, ketika ini terdapat 780 kes Covid-19 yang sedang dirawat di hospital, kebanyakan beransur pulih manakala 54 sakit teruk dan memerlukan sokongan oksigen dan tujuh dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi.

Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 50 adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, dan daripada 84 kes yang memerlukan bantuan oksigen, 43 tidak divaksin manakala empat daripada enam orang di ICU tidak divaksin sepenuhnya.

MoH juga memaklumkan, tiada satu pun dalam kalangan empat kes yang meninggal dunia sepanjang 28 hari lalu divaksin sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment