PKPB 4 daerah tamat

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas pada hari ini, 11 Disember 2020.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPB di dua mukim (Daerah Penggawa) iaitu Kubang Kerian di Kota Bahru dan Kusial di Tanah Merah diteruskan sehingga 20 Disember nanti.

Menurut beliau, kerajaan juga memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kg. Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh diteruskan sehingga 20 Disember ini.

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri juga memaklumkan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 260 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 245 individu dikompaun manakala 15 individu pula direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (102), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (27) dan lain-lain (12).

Ismail Sabri turut memaklumkan Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) menahan 18 Pendatang Tanpa Izin (Pati), tiga tekong serta merampas tiga kenderaan darat.

Jelas beliau sebanyak 122 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan pada Khamis.

Related posts

Leave a Comment