Pas Perak mohon ampun

 

IPOH 11 Dis. – Pas Perak memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap selepas dititahkan pada 8 Disember lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria berkata, sehubungan itu Pas Perak akan mengutus surat memohon ampun dan maaf atas perkara tersebut.

Razman semasa membaca kenyataan dalam sidang media petang ini berkata, mereka juga sentiasa menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Nazrin.

Selain Razman, yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi adalah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalid Yahaya (Kubu Gajah).

Selasa lalu, Istana Kinta memanggil parti politik menghadap berkenaan hal pelantikan menteri besar baharu Perak agar kerajaan baharu boleh dibentuk segera, namun Pas Pusat mengarahkan ketiga-tiga ADUNnya membatalkan pertemuan dengan Sultan Perak.

Tiada butiran lanjut di sebalik pembatalan itu, namun Razman memaklumkan mereka masih menunggu keputusan Pas Pusat mengenai sokongan kepada calon pilihan UMNO, Saarani Mohamad.

Hal sokongan kepada menteri besar hanya selesai keesokannya, selepas Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, bertemu Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, dan Presiden UMNO, Abdul Zahid Hamidi.

Sebelum itu, Pas mengumumkan ia tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar.

 

Related posts

Leave a Comment