Asas pembentukan PN

KUALA LUMPUR: Perak sepatutnya kekal milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kerana ia dijawat wakil parti itu sebelum pembentukan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin

Katanya, perkara itu adalah mengikut konsensus yang dicapai dalam pembahagian jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Ujarnya lagi, perjanjian itu dimeterai antara Presiden UMNO  Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang pada awal tahun ini.

Beliau berkata, perjanjian mengenai jawatan itu dicapai ketika pembentukan PN di peringkat Persekutuan, bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh, serta keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri di bawah tiga parti tersebut.

“Ketika pembentukan Kerajaan PN di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud kesinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat.

Katanya, di Johor, jawatan Menteri Besar dipersetujui untuk diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik Bersatu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada UMNO adalah empat buah negeri termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang.

Bagi Pas pula, persetujuan telah dicapai untuk mengetuai kerajaan di tiga negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah.

Dalam kenyataan bertajuk  ASAS PEMBENTUKAN KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL, Hamzah berkata, kerajaan PN ditubuhkan hasil persefahaman yang termeterai antara Bersatu, UMNO dan Pas selepas peletakan jawatan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 secara mengejut pada 23 Februari 2020.

Penubuhan kerajaan baharu ini juga disokong sepenuhnya oleh Presiden PBB merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Abang Johari Tun Openg, Presiden STAR, Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Semua ketua parti tersebut sebulat suara bersetuju untuk memperakukan Presiden Bersatu sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang baharu dan kesepakatan tersebut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Hakikatnya, PN lahir ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah. Keperluan membentuk kerajaan baharu tercetus akibat ketidak-puasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jangka masa  22 bulan di bawah PH, menyaksikan kegagalan PH menunaikan pelbagai janji manifesto, pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu, pengurusan ekonomi yang lemah dan pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Ekoran daripada itu, beberapa perbincangan awal diadakan dalam kalangan ahli-ahli parlimen mewakili parti-parti politik yang berkongsi aspirasi yang sama untuk merangka strategi menyelamatkan negara dan mengambil-alih kerajaan daripada PH supaya Perdana Menteri ketika itu meneruskan kepemimpinan dengan kerajaan yang baharu.

Bagi memastikan segala perancangan ini dapat direalisasikan, beberapa ahli parlimen terpaksa berkorban dengan membuat beberapa keputusan yang penting termasuklah penyertaan ahli-ahli parlimen tertentu ke dalam parti baharu untuk memastikan usaha ini dapat dijayakan.

“Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada mereka adalah pengkhianat ataupun duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai,” katanya.

Katanya, bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai Kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.

Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, beliau mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama Kerajaan pimpinan PN hari ini iaitu PN, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya. Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.

Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.

Sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.

Related posts

Leave a Comment