KUALA KANGSAR 10 Dis. – Pertukaran kerajaan dan Menteri Besar Perak untuk kali ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 mencatatkan sejarah baharu tetapi ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Begitulah titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana Iskandariah, di sini hari ini.
Titah baginda situasi itu sebaliknya cerminan kepada kegagalan sebuah pentadbiran.
“Sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14, tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan; perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.
“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah Sultan Nazrin.
Tambah Sultan Nazrin, setiap ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih adalah atas kepercayaan rakyat yang meletakkan harapan bahawa ADUN akan dapat membantu untuk menambah baik kawasan tempat tinggal, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.
“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili oleh ADUN Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, sama ada orang Melayu, orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama.
“Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.
“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda.
Justeru, baginda mengingatkan para pemimpin politik bahawa tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau diringankan.