MB ketiga selepas PRU-14

KUALA KANGSAR: Pengerusi UMNO Perak, Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 dan yang ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada pukul 11.20 pagi ini.

Untuk rekod, selepas PRU lalu, Faizal Azumu dilantik ke jawatan itu mewakili Pakatan Harapan (PH) tetapi krisis politik menyebabkan Bersatu yang diwakili Faizal keluar PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN).

Faizal sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengetuai kerajaan negeri sebagai Menteri Besar ke-13 pada 13 Mac 2020 sehinggalah usul undi percaya terhadapnya gagal pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin pada Istiadat Kurniaan Tauliah Lantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, di sini.

Selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, Saarani, kemudian mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara Perak, juga di hadapan Sultan Nazrin.

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Suaidi Abdul Rahim

Sultan Nazrin berkenan melantik Saarani sebagai menteri besar setelah beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Saarani, 59 tahun, adalah anak kelahiran Lenggong, Perak, dilahirkan pada 13 Mac 1961.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Aezer Zubir yang merupakan pesara guru, dan dikurniakan lapan orang cahaya mata.

Saarani yang memperoleh Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kemudian melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).

Beliau yang menjadi ADUN Kota Tampan selama empat penggal itu pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahli politik berpengalaman ini juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2018.

Related posts

Leave a Comment