Remaja dapatkan khidmat peguam

SINGAPURA 28 Jan. – Remaja Singapura yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang untuk melakukan keganasan di dua buah masjid tempatan akan mendapat khidmat peguam dan dibicarakan untuk menjelaskan pendiriannya.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, berkata, remaja itu akan dibicarakan di bawah ISA dan seorang hakim akan ‘menilainya’.

Menurut laporan media Singapura, sebagai menteri, Shanmugam juga akan menilainya dan walaupun di bawah umur, remaja itu boleh membawa bahaya.

“Sehingga dia menjalani pemulihan, jika kita membiarkannya, dan jika dia melaksanakan apa yang ingin dilakukannya, saya fikir kita semua akan menanggung padahnya,” tambahnya.

Menteri itu turut mendedahkan bahawa usia remaja lelaki itu akan menjadi satu faktor bagi memutuskan bagaimana proses pemulihannya akan dilaksanakan.

“Saya rasa berdasarkan umurnya, mesti ada harapan dia boleh menjalani pemulihan,” katanya lagi, berdasarkan laporan-laporan yang diterima mengenai remaja tersebut.

“Bagaimanapun saya tidak fikir ISD dalam pertimbangannya berasa ragu-ragu bahawa dia mesti ditahan,” katanya.

Sementara itu Shanmugam semasa mengadakan lawatan ke Masjid Yusof Ishak meminta rakyat Singapura terus memelihara, mengukuhkan dan mempertahankan perpaduan kaum dan agama yang dipupuk sejak sekian lama.

Ini di samping memastikan rumah-rumah ibadat bagi semua agama di sini dapat terus melaksanakan amalan dan upacara agama masing-masing.

Lawatan itu turut diiringi oleh para pemimpin agama Kristian yang bertemu dengan para pemimpin Islam termasuk Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir.

Related posts

Leave a Comment