Imbasan 2018 ..cerita semalam.

03.12.2018 : AHAD & TUGAS
Semalam, Ahad jika tidak bercuti, biasanya selepas Zuhur saya akan melangkah ke pejabat. Dan jika bercuti, akan mula merangka bahan untuk diselak. Jika perlu maklumat tambahan, saya akan WhatsApp rakan Pusat Maklumat sama ada Rozi, Ishak, Kamaruzaman. Biasanya, ayat Assalamualaikum. Kerja? atau Siapa kerja hari ni? Biasanya respons tidak mengecewakan, cuma lambat atau cepat.

Mereka sudah tahu maksudnya. Mereka akan membantu atau menyenaraikan siapa bertugas. Begitulah rutin Ahad. Sampai di pejabat, bahan yang diminta siap sama ada di atas meja atau melalui e-mel. Bermulalah kerja untuk menyelak bahan Selak. Tempoh siap tidak menentu kerana pada masa sama perlu melihat bahan lain atau kerja-kerja lain. Meja rencana sabar menunggu bahan itu. Jika lewat saya meminta mereka pulang, saya uruskan. Maklumlah mereka di meja rencana masuk awal sebelum 12 atau pukul 11. Tak kena jika mereka dibiarkan sehingga ke malam. Maknanya eloklah mereka kerja lapan jam sahaja.

Masing-masing ada cara sendiri, tidak boleh ikut cara saya atau orang lain bekerja. Ada yang puas bekerja sehingga kerjanya benar-benar selesai dan ada juga yang kerja mengikut jam. Cukup jam balik. Di media setiap detik amat berharga. Cepat tetapi biar tepat, bukan esoknya kena buat ralat. Peranan artis grafik juga penting. Mereka masukkan bahan, saya akan semak balik sehingga puas sebelum diserahkan kepada Marzuki, Nazri Hashim, Khalid Saad, Mustafa dan ramai lagi yang bertanggungjawab untuk semakan.

Fauzi Taha juga saya minta tengok kalau-kalau ada yang silap. walaupun itu bukan tugasnya tetapi dia juga membantu. Walaupun penulis bertaraf editor tidak bermakna tulisan mereka tepat tanpa berlaku kesilapan. Mereka juga manusia biasa, Kadang-kadang tersilap ejaan, jawatan, gelaran, nama dan macam-macam lagi. Tercicir satu atau dua huruf, maksud akan lari atau perkataan itu tidak wujud di dalam kamus. Maka semakan itu amat penting asal tidak seperti tikus membaiki labu. Pengalaman mengajar saya lebih berhati-hati.

Terlalu lama mengetuai dua akhbar Utusan Malaysia & Mingguan Malaysia, setiap pagi ternanti-nanti jika ada yang silap. Ada ketika WhatsApp masuk secara sinis dengan kesilapan yang berlaku. Nampak kecil tetapi hakikatnya memalukan. Jika sudah silap setelah cetak tidak ada makna lagi. Ralat akan dibuat, di hujungnya tertulis, Kami mohon maaf – PENGARANG.

Ingatlah apa yang ditulis akan menjadi rujukan atau bualan. Jika silap sudah tentu memalukan. Biasanya saya akan duduk di meja grafik untuk selesaikan bahan termasuk menentukan para, pemotongan ayat, keterangan gambar, quatation, malahan memastikan fakta. Begitulah rutinnya tetapi semalam suasana itu tiada lagi. Tidak tersasul ke pejabat, tidak terhantar WhatsApp atau terhantar bahan Selak. Jika diselak Utusan Malaysia hari ini (Isnin) Selak tidak ada lagi. Keputusan terletak kepada pengendali akhbar itu sendiri.

Apa pun, terima kasih kepada pengendali meja rencana yang bertahan dengan kerenah saya, lambat menerima bahan untuk disiapkan. Dulu ketika menjadi editor Mingguan Malaysia, tanpa ada pengarang rencana yang khusus, saya pernah mengalami pengalaman menerima bahan yang lewat untuk kolum mereka. Penulisnya hebat-hebat tetapi masih perlu semak. Itu tanggungjawab editor. Teringat saya semasa di Mingguan Malaysia, Ketua Pengarang Datuk Khalid Mohd sendiri turun untuk membaca dan menyemak jika dia terlibat dalam satu-satu wawancara. Saya banyak belajar daripada beliau berhubung ketelitian ini. Walapun lewat dimasukkan bahan, kerja tetap beres.

Apa yang penting kepuasan untuk tidak melihat atau mendengar orang bercakap silap di sana sini pada keesokannya. Kepada barisan artis grafik yang sering membuat page Selak @ rencana termasuk Faidunur, Faizal, Nadzme, Baha, Azman, Armus, Salina, Azian, Anis, Afidah, Amelin, Eda, Aishah, Sharul dan ramai lagi yang tidak dapat disebut satu persatu nama mereka di sini (kadang-kadang tak ingat nama) saya mohon maaf jika selama ini saya terkasar bahasa atau tindak tanduk kurang menyenangkan.

Mungkin video ini menggambarkan senarai rakan artis grafik. Niat saya untuk membantu dan membetulkan. Peranan saudara saudari semua juga penting. Kadang-kadang rimas juga melihat anda kunyah kuaci. Tersilap letak atau tersalah masuk buruk padahnya. Bagi saya mengelak kesilapan tidak semudah mencari kesilapan. Kepada yang ambil VSS selamat bersara dan kepada yang kekal, teruskan perjuangan. Bekerja sebagai satu pasukan. Jujurlah dalam tugas kerana kerja itu ibadat. Jangan biarkan ibadat rosak akibat kealpaan.

Related posts

Leave a Comment