Malaysia – Singapura kongsi pengalaman

SINGAPURA 3 Jun – Hubungan serta kerjasama erat Malaysia dan Singapura dalam menangani Covid-19 telah mewujudkan satu kawasan epidemiologi, yang akhirnya menyaksikan pembukaan semula sempadan kedua-dua negara selepas lebih dua tahun ditutup.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu telah dikongsi bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika beliau mengadakan kunjungan hormat di Istana Presiden dalam rangka lawatan kerja rasmi empat harinya ke sini.

Khairy berada di Singapura bermula 31 Mei hingga 3 Jun sebagai Felow Pertukaran Lee Kuan Yew yang ketujuh dari Malaysia. Beliau adalah Felow Pertukaran Lee Kuan Yew yang ke-71.

“Pada pertemuan itu, PM Lee dan saya berkongsi pengalaman berhadapan dengan cabaran gelombang Delta dan Omicron sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam kemas kini terkini di laman rasmi Facebooknya.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya kepada Lee dan kerajaan Singapura dan khususnya Kementerian Kesihatan republik itu atas komitmen serta kerjasama sangat baik sepanjang pandemik Covid-19.

“Selain itu, kami juga bertukar-tukar pandangan bagaimana untuk menjalani kehidupan selepas pandemik Covid-19 dengan selamat dan peranan teknologi dalam mengukuhkan lagi penyampaian sistem kesihatan negara.

“Juga kepentingan memahami pendekatan sains tingkah laku yang baik dalam usaha membentuk masyarakat bertanggungjawab,” tulisnya sambil menyatakan hasrat untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala itu dengan harapan kedua-dua negara dan penduduknya mendapat manfaat sebaiknya.

Khairy turut berucap pada Sidang Kemuncak Asia Tech x Singapore (ATxSG) dan di Universiti Kebangsaan Singapura, Sekolah Saw Swee Hock bagi Kesihatan Awam.

Felow Pertukaran Lee Kuan Yew ditubuhkan pada 1991, mempelawa individu cemerlang bagi mengadakan lawatan peringkat tinggi ke Singapura. Mereka dipilih berdasarkan rekod prestasi dan potensi luar biasa dalam menyumbang kepada pembangunan negara serta hubungan dua hala dengan Singapura.

Turut sama dalam kunjungan hormat itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar serta delegasi KKM.

(Foto FB)

Related posts

Leave a Comment