Dua tahun sesudah VSS Utusan

ASSALAMUALAIKUM sahabat-sahabat VSS. Sudah dua tahun, lebih 700 pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad memilih skim pemberhentian sukarela (VSS). Namun pampasannya belum menjadi kenyataan.

Bayaran pampasan tersekat di ‘awal perjalanan’ dan terus teraba-raba bagaikan di dalam terowong. Belum nampak sinarnya kecuali baru-baru ini muncul i-Sinar.

Dalam tempoh penantian ini, ada sahabat VSS yang sudah meninggal dunia. Ada juga yang sedang terlantar sakit. Ada yang masih menganggur.

Ada yang sedang menghabiskan simpanan hari tua mereka – caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dan ada juga yang sudah layak sebagai asnaf.

Kita merancang, Allah SWT yang menentukannya. Kita hanya mampu berusaha berikhtiar dan berdoa.

Begitulah nasib kalangan pekerja yang memilih VSS. Walaupun tidak semua kurang bernasib baik tetapi semuanya umpama menunggu durian yang tidak gugur bukan mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Benar tidak kurang juga yang sudah bekerja bersama kerajaan, atau swasta. Itu bagi yang masih muda, ada kelayakan dan pengalaman.

Ada juga yang bekerja sendiri sebagai pemandu grab, penghantar makanan, buka gerai di tepi jalan, buka gerai depan rumah, berkebun, ternak ikan dan berniaga online.

Ada yang jadi ejen insurans atau takaful, jual saham, dan macam-macam lagi. Maknanya ada-ada sahaja yang mereka lakukan untuk kelangsungan hidup walaupun ia mungkin tidak seindah seperti ketika bersama Utusan.

Mereka ketepikan tugas hakiki semasa di Utusan, contohnya wartawan dan jurugambar perlu buat apa saja di luar bidang kemahiran mereka. Bukan lagi menulis atau mengambil foto.

Kebanyakan mereka tidak ada pilihan lain lebih-lebih lagi selepas terjebak pula dengan suasana ekonomi yang muram akibat pandemik Covid-19. Sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah suasana dua tahun selepas mereka memilih jalan untuk memberi ruang penstrukturan semula syarikat yang ketika itu sedang nazak.

Kononnya jalan keluar untuk pemulihan syarikat termasuk mengecilkan saiz pekerja dan produk. Maka 708 daripada 1,523 orang daripada pekerja yang ada memilih VSS.

Malangnya, ‘pembaikan’ itu hanya mampu bertahan setahun, bukan semakin baik tetapi bertambah parah sehingga sebuah syarikat Melayu yang dibina atas semangat, keringat dan air mata itu terpaksa ‘digulung’.

Tidak pasti dalam tempoh setahun kebelakangan ini sejauh mana keprihatinan mereka terutama peneraju utama syarikat yang diamanahkan (pada kali terakhir) terhadap pekerja VSS ini.

Semoga keputusan mereka sebelum ini tidak sekadar mahu melepaskan beban yang digalas, tidak sekali-kali bertujuan menganiaya atau menzalimi pekerja.

Namun adakah mereka terfikir berapa banyak keluhan (semoga tidak ada sumpah seranah) bekas pekerja terhadap mereka akibat menanggung masalah yang tidak terduga ini?

Entah ada atau tidak dalam kalangan yang kali terakhir mengetuai syarikat itu tampil bertanya khabar apa yang sedang berlaku selepas pampasan yang dijanji belum dilunaskan.

Hakikatnya, bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Dah dua tahun menunggu! Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Al-Fatihah buat rakan-rakan VSS serta yang diberhentikan kerja yang telah kembali menemui Ilahi. Sekadar beberapa nama – Allahyarham Baharom Mahusin, Allahyarham Azman Mansor, Allahyarham Mohd Riza Osman dan Allahyarham Siti Hanizah Mohd Noordin.

Benar wang ringgit tidak dapat dibawa bersama tetapi ia amat bermakna bagi meneruskan kelangsungan hidup insan yang ditinggalkan. Mereka yang pergi tak akan kembali lagi ke alam ini walaupun jenama Utusan Malaysia yang pernah dimatikan boleh kembali semula ke persada tanah air.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan kesabaran kepada sahabat-sahabat VSS dan juga 800 lagi yang diberhentikan.

Related posts

Leave a Comment