1,472 kes baharu 10,495 aktif

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kes positif Covid-19 kekal empat angka, dengan 1,472 kes baharu direkodkan yang sebahagian besar daripadanya adalah daripada Kluster Teratai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor (891 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun sebanyak 1,552  kes sembuh dilaporkan hari ini dan masih mengatasi angka kes positif. 

Beliau berkata secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, Malaysia menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil dengan sebahagian besar daripada kes kebelakangan ini berpunca dari tapak binaan dan kilang.

“Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata sejak diumumkan pada 7 November lepas, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai dan daripada jumlah itu sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes adalah bukan warganegara.

Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan dan kesemua kes positif telah diasingkan.

“Oleh itu, KKM menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Dis sehingga 14 Dis,” katanya. 

Beliau berkata sehingga kini, majikan berkenaan telah diarah untuk menghentikan operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan terhadap kesemua pekerja mereka.

Selain itu, katanya, anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan terlibat bagi membantu aktiviti kawalan dan pencegahan.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu hari ini terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. 

Sehingga kini, terdapat 120 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 44 kes memerlukan bantuan pernafasan sementara tiga kematian direkodkan.

Dr Noor Hisham berkata ketiga-tiga kematian melibatkan individu dari Sabah. Kematian pertama melibatkan wanita berusia 64 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan kanser usus.

Manakala kematian kedua melibatkan lelaki berusia 51 tahun menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung sementara kematian ketiga membabitkan lelaki berusia 24 tahun. 

Related posts

Leave a Comment