SINGAPURA 29 Nov. – Seorang pekerja migran yang menetap di Singapura dikesan sebagai antara lapan kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, Ahad (29 November).yang menjadikan jumlah keseluruhan kes 58,213.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menjelaskan lelaki itu dikenal pasti hasil ujian pemantauan masyarakat yang dijalankan ke atas pengendali gerai di dalam dan sekitar Pusat Tekka pada 26 November.
Hasil ujian serologi (mengesan antibodi dalam darah) menunjukkan beliau positif Covid-19 serta memberi gambaran kemungkinan wujud jangkitan sebelum ini.
Sementara itu, tujuh kes import yang dikenal pasti sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan.
Menurut data penuh dikeluarkan malam tadi, lelaki berkenaan dan empat kes import yang lain tidak bergejala (asymptomatic) dan dikesan menerusi saringan dan pemantauan proaktif.
Setakat 12 tengah hari semalam, republik itu melaporkan enam kes baharu dengan satu kes penularan tempatan, menjadikan keseluruhan kes 58,205.
Satu kematian dilaporkan membabitkan lelaki warga tempatan berusia 68 tahun yang meninggal dunia di National University Hospital.
Lelaki terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada 10 Mac atas sebab kerja pulang ke republik itu pada 17 November , dan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas.
Pesakit itu disahkan positif Covid-19 pada 18 November dan mempunyai sejarah penyakit hipertensi dan jantung.
Kali terakhir Singapura merekodkan kematian pada 12 Oktober selepas dua korban pertama pada 21 Mac.
Hingga kini hampir 99 peratus atau 58,119 kes telah pulih sepenuhnya manakala 32 kes positif masih dirawat di hospital dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).