WASHINGTON: Amerika Syarikat merancang mengagihkan kira-kira 6.4 juta dos vaksin Covid-19 di seluruh negara itu pada peringkat awal bulan depan selepas yang pertama diluluskan oleh pihak pengawal selia bagi penggunaan kecemasan.
Pegawai pemerintah program tindak balas Covid-19, Operation Warp Speed, memberitahu wartawan kelmarin, setiap negeri dan wilayah telah dimaklumkan mengenai anggaran peruntukan vaksin supaya mereka dapat merancang cara terbaik mengagihkannya kepada penduduk berisiko tinggi.
Pegawai itu sebelum ini mengatakan mereka menjangka 40 juta dos akan diedarkan menjelang akhir tahun ini, angka yang mereka ulangi kelmarin.
Firma Pfizer Inc minggu lalu memohon kelulusan penggunaan darurat (EUA) Amerika pertama bagi vaksin Covid-19 setelah melaporkan data yang menunjukkan bahawa vaksin mereka 95 peratus berkesan untuk mencegah penyakit itu dalam percubaan Fasa Ketiga yang besar.
Pentadbiran Perubatan dan Makanan Amerika (FDA) dijangka membuat keputusan mengenai EUA itu setelah jawatankuasa penasihat pakar bertemu untuk membincangkan vaksin itu pada 10 Disember nanti.
Pfizer, yang menghasilkan vaksin itu dengan rakan Jerman BioNTech SE dan yang lain yang terlibat dalam penghantaran dan pengendalian vaksin, telah memulakan ‘latihan penghantaran’ agar mereka dapat memastikan prasarana pengedaran berfungsi dengan baik.
Pihak berkuasa negeri dan wilayah Amerika bertanggungjawab dalam menentukan cara vaksin Covid-19 itu diedarkan kepada penduduk mereka.
Pembuat vaksin, bersama dengan pegawai persekutuan, akan menghantar vaksin mereka ke negeri-negeri itu, tetapi gabenor dijangka menentukan cara terbaik mengagihkannya di negeri mereka.
Pihak negeri telah menghasilkan rancangan masing-masing yang mengutamakan siapa yang akan menjadi penerima pertama dos vaksin apabila ia telah tersedia.
Kebanyakan negeri mengatakan mereka merancang memberi vaksin kepada pekerja kesihatan barisan depan dan penduduk rumah jagaan warga tua dalam langkah pengagihan pertama mereka.