Perancis buka semula sekolah Isnin

PARIS: Perdana Menteri Perancis, Jean Castex mengumumkan para pelajar akan kembali semula ke sekolah mulai Isnin ini berikutan gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara itu akan berakhir susulan penurunan kes harian.

Beliau yang yakin keputusan pembukaan semula sekolah adalah tepat berkata, penutupan sekolah secara berterusan akan memberikan implikasi yang lebih besar kepada tahap pendidikan pelajar dan kesan psikologi.

Selain itu, sektor perniagaan juga dijangka akan beroperasi semula menjelang pertengahan Mei.
Berucap melalui televisyen pada Khamis, 22 April beliau berkata kemuncak gelombang ketiga mungkin akan berakhir dan tekanan pandemik ini semakin berkurangan.

“Jumlah kumulatif kes harian sudah menunjukkan penurunan sehingga 17 peratus dalam tempoh seminggu dan hari ini hanya lebih 30,000 kes harian dicatatkan.

“Penurunan ini adalah 80 peratus di keseluruhan wilayah dan lebih banyak diumumkan di daerah seperti di Paris, utara Perancis dan di Nice yang mana bermulanya penularan yang lebih pantas dan kita telah ambil langkah membendung seawal 20 Mac,” katanya.

Bagaimanapun perintah berkurung waktu malam masih lagi berkuat kuasa.

Beliau pada masa sama menggesa agar rakyat negara itu menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Perancis juga akan melaksanakan garis panduan yang lebih ketat terhadap pengembara dari Brazil, Argentina, Chile, Afrika Selatan dan India.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!