Jasa dijenamakan J-KOM

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan peranan dan fungsi berbeza, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Saifuddin Abdullah.

Katanya, J-KOM untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin memaklumkan fungsi J-KOM juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (Japen) kerana tugas utama J-KOM pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik Covid-19.

Japen pula, bertujuan memberi kefahaman mengenai sesuatu dasar, program dan inisiatif kerajaan dengan memberi keutamaan kepada komunikasi.

Katanya, fungsi J-KOM juga tidak bersifat bertindan dengan agensi lain di bawah KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.

Menjawab celahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai dakwaan jabatan itu merupakan ejen penyebar propaganda, Saifuddin memberi jaminan J-KOM bukan mesin propaganda selain menegaskan ketua pengarah serta timbalannya tidak akan dilantik dalam kalangan orang politik.

“Saya bagi jaminan J-KOM bukan mesin propaganda. Proses (lantikan) mengikut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada kriteria dan kriteria utama merupakan celik IT,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan, ketua pengarah dan timbalan (ketua) pengarah tidak akan dilantik daripada orang politik, tetapi kombinasi (golongan) profesional dan pegawai tadbir yang baik serta bersahsiah tinggi.

Mengenai peruntukan RM85.5 juta untuk jabatan itu yang disifatkan terlalu tinggi, Saifuddin memberi bayangan peruntukan itu akan dikurangkan.

Related posts

Leave a Comment