131 gagal pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Masih ada yang dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka, iaitu antara Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam, seramai 131 individu ditahan kerana melakukan kesalahan itu di samping

59 lagi individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam 311 individu daripada 329 individu yang ditahan telah dikompaun manakala lima individu pula direman dan 13 individu dijamin.

Selain gagal memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, 50 kes adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, 38 rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran dan 51 kesalahan lain

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Operasi Benteng telah berjaya menahan 88 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima tekong serta merampas 13 kenderaan darat.

Jelasnya, sebanyak 261 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan.

Tambahnya, seramai 73,713 individu telah pulang ke tanah air ditempatkan di 76 hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 10,152 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 405 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 63,156 individu telah dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 36 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Vietnam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment