PUTRAJAYA 18 Nov. – Kementerian Kesihatan sejak daripada awal lagi amat bimbang sekiranya pilihan raya diadakan sama ada ia melibatkan pilihan raya kecil, negeri mahupun umum buat masa ini bagi mencegah penularan Covid-19.
Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebimbangan itu terbukti apabila peningkatan kes positif yang dilaporkan di Sabah dan ia menyukarkan usaha membendung penularan Covid-19. susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri.
“Kalau boleh, amat penting kita mencegah satu lagi pilihan raya,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara berkata, Al Sultan Abdullah bertitah, amatlah wajar Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara .
Perkenan Seri Paduka untuk darurat di Parlimen Batu Sapi mengambil iktibar daripada PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga Covid-19.
Sebelum itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diterima menghadap bagi mempersembahkan nasihat berkaitan PRK Batu Sapi.