919 kes baharu 996 sembuh

PUTRAJAYA, 12 Nov — Jumlah kes sembuh mengatasi kes baharu hari ini apabila 996 pesakit dilaporkan pulih berbanding 919 kes jangkitan yang direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 32,069 kes, manakala bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan mencatat 11,419 kes.

Daripada 919 kes baharu hari ini, 916 merupakan kes penularan dalam negara, sementara bakinya kes import.

Tiga kes import melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara, yang tiba dari Indonesia, Nigeria dan Arab Saudi.

Menurut beliau terdapat satu kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 303 kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki bukan warganegara berumur 66 tahun, yang mendapat rawatan di Hospital Tawau, Sabah.

Katanya, sehingga kini, terdapat 92 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu kluster Teluk di daerah Kota Kinabalu, Sabah dengan tiga kes indeks bagi kluster tersebut dikenal pasti positif, hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 November.

Katanya, hasil saringan kontak rapat mengesan sebanyak 27 lagi kes positif Covid-19, dengan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Bangunan Kompleks Sukan Likas.

Related posts

Leave a Comment