PKP? Tunggu PM Isnin ini

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bakal mengumumkan sesuatu pada Isnin depan berhubung situasi semasa keadaan Covid-19 di negara ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

“InsyaaAllah satu pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri pada Isnin bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mengikuti rapat berhubung situasi harian Covid-19 dan akan terus mengkaji segala persiapan bagi mengawal penularan pandemik yang menimbulkan keresahan rakyat.

Menurut Ismail Sabri, perkara itu termasuk untuk meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor sosial dan beberapa lagi yang lain berdasarkan situasi semasa Covid-19 di negara ini.

Sejak kebelakangan ini, angka bagi kes harian Covid-19 masih kekal berada di kedudukan empat angka dan pada Khamis, kes harian tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 3,027 kes.

Berikutan itu timbul pelbagai spekulasi di media sosial mengenai kemungkinan kerajaan mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama di beberapa negeri yang kesnya terus meningkat.

Menurut spekulasi yang tular, antara negeri yang dikatakan akan dikenakan semula PKP termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.

Related posts

Leave a Comment