Bimbang keluar masuk 6 juta

PUTRAJAYA 12 Nov. – Mungkinkah rentas daerah di Lembah Klang akan lebih diperketatkan ? Ini berikutan situasi zon merah di hampir semua daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Pada masa yang sama jiran terdekat Lembah Klang iaitu Negeri Sembilan turut menunjukkan peningkatan kes yang mendadak.

Justeru, dalam hal ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyuarakan kebimbangan pergerakan keluar masuk 6 juta rakyat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, akan menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19, di negeri-negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  agak sukar untuk mengawal pergerakan penduduk yang tinggi dan padat di negeri terlibat berbanding pergerakan (orang awam) dari  zon merah di Sabah ke Semenanjung misalnya, kerana kita boleh saring dan kenal pasti mereka yang  keluar dari Sabah.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang, diharapkan dapat mengurangkan pergerakan rentas negeri khususnya di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, seterusnya memutuskan rantaian penularan baharu wabak itu.

“Kita (KKM) bimbang jika orang dari Lembah Klang atau Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak itu dan merentas negeri ke zon hijau, ia akan bawa jangkitan. Oleh itu, walaupun tak dapat bataskan 100 peratus pergerakan keluar masuk, tapi PKPB dapat kurangkan pergerakan itu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kebimbangan itu timbul, apabila data keseluruhan kes baharu di Lembah Klang dan Negeri Sembilan kini mengatasi jumlah kes di Sabah.

Data jangkitan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan Sabah masih mendahului kes jangkitan dengan merekodkan 319 kes tetapi angka di Lembah Klang  iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Negeri Sembilan menunjukkan angka yang lebih membimbangkan.

Negeri Sembilan merekodkan 240 kes yang melibatkan 236 kes melibatkan kluster sedia ada, tiga saringan dan satu lain-lain saringan.

Selangor pula mencatatkan 174 kes yang melibatkan 122 kluster sedia ada, 37 saringan kontak rapat dan 15 lain-lain saringan.

Sepang mencatatkan 74 kes baharu menjadikan jumlah kes positif di daerah tersebut; 332 manakala kes positif di Sabak Bernam pula kekal satu kes. Secara keseluruhan, jumlah kes positif di Selangor adalah 2,350.

Sementara itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini berada dalam zon merah.

Lembah Pantai naik ke zon merah apabila mencatat 19 kes baharu menjadikan 48 kes manakala jumlah kes di Titiwangsa 54, Kepong 91 dan Cheras 50.

Putrajaya pula melapor satu kes baharu yang membawa jumlah kes kini 42.

Related posts

Leave a Comment